Maahad Tahfiz Azzikrul Hakim (MATAZH) adalah sebuah pusat pengajian berasaskan “Ilmu, Suluk, Dakwah” dan telah didaftarkan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Maahad Tahfiz Azzikrul Hakim mula ditubuhkan pada 3 Mac 2015 di sebuah tapak bangunan dekat Puchong, Selangor. Bermula dengan 8 orang pelajar pada awalnya, idea penubuhan maahad tahfiz ini dicetuskan daripada beberapa ahli fikir yang diketuai oleh Encik Mohd Helmy bin Hashim dan Puan Natrah Binti Mohamed dengan kerjasama Syeikh Majid Al-Humaid dari Sana’a , Yaman untuk melahirkan pelajar tahfiz yang cemerlang di dunia dan akhirat, Selain itu, untuk memastikan generasi yang lahir pada maahad tahfiz ini dapat menjadi jilul quran yang bergerak dan mampu untuk kembalikan masyarakat mengikut ajaran Al Quran yang sebenar.
Pusat pengajian Al-Quran ini ditubuhkan untuk memenuhi tuntutan fardu kifayah dan tidak bertujuan mencari keuntungan duniawi.
Sejak awal Januari 2015, MATAZH berusaha membaik pulih sebuah bangunan wakaf milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Bangunan ini dahulunya sebuah rumah yang diubahsuai untuk kegunaan sekolah tahfiz, namun tidak digunakan selama enam tahun.
Maahad Tahfiz Azzikrul Hakim (MATAZH) siap diselenggara pada 3 Mac 2015 dan memulakan operasinya pada 30 Mac 2015, dengan fasa pertama beroperasi dalam dua sesi, pagi dan petang.
MATAZH juga membuka pengajian untuk kelas dewasa kepada sesiapa yang ingin mempelajari kitab suci Al-Quran secara individu atau berkumpulan.
Dengan izin Allah, MATAZH memulakan operasi sepenuh masa pada 16 Ogos 2015, bersamaan 1 Zulkaedah 1436H, dan kini mempunyai 43 orang pelajar sepenuh masa.
Selain itu, MATAZH juga telah memulakan pengajian untuk pelajar Banat dengan menyewa dua unit rumah berhampiran tempat operasi pelajar Banin.